KUALA LUMPUR — Raffcomm Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH), penyedia perkhidmatan utama yang dilantik oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0 serta memperkenalkan Program Ganjaran Digital SSM e-Info dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada Rabu
Pelancaran ini mencerminkan komitmen RAFFTECH dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan keperluan pengguna masa kini. Menurut Pengerusi Eksekutif RAFFTECH, Datuk Md. Afendi Hamdan, penambahbaikan ini adalah langkah strategik dalam memastikan aplikasi SSM e-Info kekal relevan dan berdaya saing dalam era digital.
“Dalam dunia digital hari ini, pengguna bukan sahaja mahukan maklumat, tetapi juga pengalaman yang lancar, pantas dan berbaloi. Justeru, kami membangunkan semula aplikasi ini secara menyeluruh untuk memperkenalkan Versi 3.0 yang lebih moden, interaktif dan mesra pengguna,” katanya kepada MYBERITA.
Antara ciri utama yang diperkenalkan dalam versi terbaharu ini ialah sistem ganjaran digital yang membolehkan pengguna mengumpul mata setiap kali membuat transaksi di platform e-Info.
Mata ganjaran ini sah untuk tempoh enam bulan dan boleh ditebus melalui aplikasi bagi mendapatkan pelbagai manfaat yang ditawarkan.
Dari segi fungsi, aplikasi ini memberi akses segera kepada pelbagai maklumat rasmi berkaitan syarikat dan perniagaan yang didaftarkan di bawah SSM, termasuk sijil penubuhan dan dokumen berkanun.
Reka bentuk antaramuka yang baharu menjadikan aplikasi lebih mudah dinavigasi, manakala sistem carian yang dipertingkatkan membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dengan lebih efisien.
SSM e-Info kekal sebagai satu-satunya portal dalam talian rasmi yang membolehkan capaian real-time kepada maklumat korporat yang disahkan, termasuk melalui penyepaduan API yang memudahkan agensi kerajaan mendapatkan data sah secara terus.
Selain itu, ia juga merupakan satu-satunya platform SSM yang menawarkan e-dompet serta dokumen Digitally Certified True Copy (DCTC) yang dikeluarkan menerusi Certification Authority (CA) dalaman yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Aplikasi SSM e-Info kini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store, dan terus menjadi rujukan utama untuk pelabur, ahli perniagaan, pengamal undang-undang serta agensi kerajaan yang memerlukan akses tepat dan sah kepada maklumat korporat di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.ssm-einfo.my.