KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Sufian Suhaimi kini sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Rania Al Sadat dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung penuh tertib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
Walaupun tiada sebarang pengesahan rasmi daripada Sufian setakat ini, berita gembira itu disahkan oleh adik lelakinya, Salihin Suhaimi menerusi satu hantaran di Instagram Story yang memaparkan foto pasangan mempelai berbusana putih sedondon.
Majlis pernikahan tersebut sekaligus menamatkan spekulasi mengenai hubungan mereka yang kembali terjalin sejak beberapa bulan lalu. Sebelum ini, khabar angin mengenai perkahwinan pasangan ini bertiup kencang apabila Rania memuat naik gambar majlis bersiram di media sosial, sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Untuk rekod, pasangan ini pernah melalui episod duka apabila pertunangan mereka putus pada April tahun lalu. Sufian pernah memaklumkan bahawa cincin risik yang diberikannya kepada Rania telah dipulangkan.
Namun, cinta yang terputus kembali bersambung apabila mereka dilihat mula meluangkan masa bersama, sebelum akhirnya mengakhiri kisah cinta mereka ke jinjang pelamin.
Tahniah diucapkan kepada Sufian dan Rania atas permulaan baharu dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri.