Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASASyafiq Rahim, Izham Tarmizi dan Faizal Marlias tinggalkan JDT, 11 pemain dilepaskan...

Syafiq Rahim, Izham Tarmizi dan Faizal Marlias tinggalkan JDT, 11 pemain dilepaskan Harimau Selatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad menabur bakti bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain veteran Syafiq Rahim dan penjaga gol, Izham Tarmizi, secara rasmi meninggalkan kelab berkenaan. Turut mengikut jejak langkah mereka ialah Faizal Marlias yang menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2015.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, hari ini.

Selain tiga pemain tempatan tersebut, JDT turut melepaskan beberapa pemain import yang menjadi tonggak pasukan pada musim lalu antaranya Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Álvaro Gonzalez, Roque Mesa, Anselmo de Moraes dan Ramadhan Saifullah.

Difahamkan, Jese dan Murilo menyertai pasukan pada musim lalu manakala empat pemain import lain — Gonzalez, Viera, Mesa dan Anselmo — tidak sempat menghabiskan satu musim penuh bersama JDT.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain berikut atas komitmen penuh mereka kepada Harimau Selatan.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan dan anda akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada Keluarga JDT. Luaskan Kuasamu Johor,” menurut kenyataan rasmi kelab tersebut.

Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025-2026, JDT telah mengorak langkah awal dengan membawa masuk tiga pemain baharu iaitu pemain tempatan, Ibrahim Manusia serta dua pemain import, Jairo Da Silva dan Antonio Glauder.

Langkah pembaharuan ini dilihat sebagai usaha JDT untuk terus mengekalkan dominasi mereka dalam kancah bola sepak tempatan selepas menjuarai Liga Super selama 11 musim berturut-turut.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN