Khamis, 17 Julai 2025
UTAMANASIONAL"Tanpa guru, tiada Perdana Menteri", Anwar rai jasa dan pengorbanan cikgu bersama...

“Tanpa guru, tiada Perdana Menteri”, Anwar rai jasa dan pengorbanan cikgu bersama Ejen Ali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan penuh makna buat seluruh warga pendidik sempena sambutan Hari Guru, menerusi satu ciapan di laman rasmi Facebook miliknya.

Dalam hantaran tersebut, beliau mengimbau peranan penting institusi pendidikan yang menjadi titik tolak kepada pembentukan insan, tidak kira latar belakang atau kerjaya seseorang.

Anwar tampil dengan kelainan dalam menyampaikan penghargaan sempena sambutan Hari Guru tahun ini menerusi satu video ucapan kreatif bersama watak animasi popular, Ejen Ali.

“Dalam kehidupan ini, siapa pun kita sama ada pemimpin, doktor, jurutera, petani, malah Perdana Menteri sekali pun, semuanya pernah belajar menulis, membaca dan mengira. Segalanya bermula di dalam bilik darjah,” tulis beliau.

Anwar turut menyifatkan guru sebagai insan mulia yang tidak pernah meminta untuk dipuja, tetapi tetap berbakti dengan penuh kasih sayang dan kesabaran dalam mendidik anak bangsa.

Katanya lagi, guru merupakan satria yang sabar membentuk akhlak dan teguh mempertahankan nilai, dalam usaha membina generasi berilmu dan berakhlak mulia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau menegaskan bahawa usaha membentuk sahsiah tidak terhenti selepas tamatnya persekolahan, sebaliknya merupakan tanggungjawab berterusan merentas generasi.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang turut berkongsi kenangan bersama guru-guru mereka, di samping mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap jasa pendidik.

Dalam video berdurasi sekitar dua minit itu, Anwar dilihat berinteraksi dengan Ejen Ali sambil menyampaikan mesej penuh penghayatan mengenai peranan guru dalam membentuk masa depan negara yang menarik perhatian warga maya dengan pendekatan yang lebih segar dan mesra generasi muda.

Sambutan Hari Guru disambut setiap 16 Mei sebagai penghargaan kepada sumbangan para guru dalam membangunkan pendidikan negara dan mencorak masa depan anak-anak Malaysia.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN