Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKSKLUSIFTarian etnik Cocos USM dipilih juara Malam Citra Bayu ke-17

Tarian etnik Cocos USM dipilih juara Malam Citra Bayu ke-17

- Advertisement -

PULAU PINANG – Kumpulan Geris Sumayau dari Universiti Sains Malaysia (USM) memukau juri dan hampir 2,000 penonton dengan tarian Ati’noh Cocos sempena Malam Citra Bayu ke-17 anjuran PERSIS USM, Sabtu lalu.

Bukan sahaja dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan MCB-17, kumpulan itu turut menggondol tiga anugerah utama iaitu Kostum Terbaik, Muzik Terbaik dan Koreografi Terbaik, sekaligus membawa pulang wang tunai RM2,500 dan trofi kejuaraan.

Berbekalkan tema “Lasah Tradisi, Rumpun Legasi Bayu”, MCB kali ini bukan sekadar pentas persembahan, tetapi medan untuk menelusuri warisan budaya Sabah dalam bentuk yang menghiburkan dan sarat nilai.

Sebanyak lapan universiti awam berentap dengan penuh semangat mempersembahkan tarian kebudayaan masing-masing antaranya, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi Mara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Dato’ Armizan Mohd Ali yang turut memuji usaha PERSIS dalam menganjurkan program kebudayaan yang penuh nilai perpaduan ini.

“MCB bukan sahaja memartabatkan budaya Sabah, malah membuka ruang untuk rakyat Malaysia, khususnya generasi muda untuk mengenali, menghargai dan menyayangi kepelbagaian budaya kita,” ujar beliau.

Hadir sama meraikan malam istimewa itu ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, serta beberapa tetamu kenamaan antaranya Dr. Hazrul Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Tuan Azrul Ibrahim, Pengarah IKRAR, Andy Siti Nurhidayah Rahim, Penasihat 1 PERSIS USM dan Fasirah Ahmad Lawila, Naib Yang Dipertua 1 PERSIS USM.

Pengarah program, Azham Jaa’far pula menzahirkan harapan agar MCB terus menjadi jambatan budaya antara mahasiswa Sabah dan rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia.

“Setiap lenggok tarian membawa kisah, setiap irama menyimpan sejarah. Kami mahu kisah-kisah ini terus hidup dalam jiwa generasi muda,” katanya penuh semangat.

Lebih manis, malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air, Marsha Milan, yang membakar semangat penonton dengan vokalnya yang memukau.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN