Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALTular murid dimarahi guru di khalayak, Fadhlina beri reaksi tegas

Tular murid dimarahi guru di khalayak, Fadhlina beri reaksi tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular yang mendakwa seorang murid dikepung dan dimarahi oleh sekumpulan guru di khalayak umum.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan untuk memantau siasatan dengan teliti.

“Rakaman yang ditularkan memberi impak besar terhadap masyarakat. Namun, perkara ini masih dalam siasatan. Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberikan tumpuan terhadap isu ini supaya kita dapat terus mengingatkan semua tentang integriti dan etika guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan bahawa warga pendidik perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial agar tidak menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.

Katanya, semua guru juga perlu berpegang kepada garis panduan dalam Standard Guru Malaysia 2.0 yang menekankan aspek integriti dan etika, selaras dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

“Walaupun warga pendidik mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan, namun ia perlu dilakukan secara beradab dan melalui saluran yang sesuai,” jelasnya.

Tambah beliau, KPM komited untuk mewujudkan ruang lebih selamat dan privasi dalam menyelesaikan sebarang isu yang melibatkan murid atau guru.

“Saya sentiasa mengingatkan guru-guru kita tentang integriti dan etika mereka, baik dalam atau luar kelas mahupun di media sosial,” katanya lagi.

KPM menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan kesejahteraan murid sentiasa terpelihara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN