Selasa, 16 Jun 2026

Warga emas ke tali gantung, edar dadah RM57.15 juta

MUAR – Seorang lelaki warga emas antara dua individu yang berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar lebih 620 kilogram (kg) dadah bernilai kira-kira RM57.15 juta.

Tertuduh, Goh Ka Hun, 63, dan Low Yah Chien, 43, hanya mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 443,418 gram di kawasan tali air Parit Amat Laut, Parit Jawa, pada pukul 12.30 tengah malam, 5 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi dengan anggaran berat kasar 180,642 gram di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd. Piah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, berdasarkan laporan polis, kedua-dua warga tempatan terbabit ditahan dalam satu operasi yang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah ke negara jiran.

Tangkapan dilakukan menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Rampasan berjumlah lebih 620kg itu dipercayai antara tangkapan terbesar yang berjaya dilakukan pihak berkuasa di daerah berkenaan tahun ini.

Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com