Kerajaan Malaysia arah rakyat tinggalkan Iran, laksana pelan evakuasi darat ke Turkmenistan

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah segera dan tegas dengan mengarahkan semua rakyatnya yang berada di Iran supaya meninggalkan negara tersebut susulan perkembangan keselamatan yang semakin membimbangkan di rantau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak kerajaan telah merangka satu pelan evakuasi menyeluruh ekoran ketiadaan penerbangan keluar dari Tehran ketika ini.

Menurut beliau, rakyat Malaysia yang terkesan telah diarahkan untuk bergerak menggunakan laluan darat sejauh 950 kilometer ke negara jiran, Turkmenistan.

“Lantaran tiada sebarang penerbangan dibenarkan melalui Iran pada ketika ini, kita telah siapkan kenderaan untuk mereka melalui jalan darat pergi ke tempat paling dekat.

“Perjalanan sejauh 950km ini dianggarkan mengambil masa kira-kira 13 jam kerana mereka perlu merentasi banjaran dan laluan mencabar untuk sampai ke Ashgabat, ibu negara Turkmenistan,” katanya dalam satu perkongsian video yang dimuat naik di platform TikTok.

Bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar, Mohamad memaklumkan bahawa semua kelulusan berkaitan termasuk visa daripada pihak berkuasa Turkmenistan telah diperoleh, membolehkan rakyat Malaysia memasuki negara itu. Mereka diberikan tempoh dua hari untuk berada di sana sementara menunggu proses selanjutnya termasuk kepulangan ke tanah air.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan terdiri daripada kakitangan kedutaan, pelajar serta pelancong.

Kementerian itu juga sedang bekerjasama rapat dengan Perwakilan Malaysia di Iran dan negara jiran bagi memastikan keseluruhan proses penghantaran pulang dilaksanakan dengan selamat dan secepat mungkin.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada Jumaat berikutan peningkatan risiko keselamatan susulan konflik yang semakin memuncak antara Iran dan Israel.

BACA JUGA:  Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta
Lailatul Qadrina
Lailatul Qadrina
lailatulqadrina@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...