KUALA LUMPUR – Rintihan peminat My Chemical Romance (MCR) akhirnya didengari apabila penganjur, Hello Universe Malaysia mengumumkan penambahan satu malam lagi konsert band rock popular itu di ibu negara pada tahun hadapan.
Hari kedua konsert dijadualkan berlangsung pada 1 Mei 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), menjadikan Kuala Lumpur satu-satunya lokasi di Asia yang menyaksikan dua malam berturut-turut persembahan MCR.
Tiket untuk konsert tambahan itu akan mula dijual pada 1 Ogos 2025 bermula jam 10 pagi.
Sebelum ini, sebanyak 60,000 tiket untuk hari pertama konsert habis dijual dalam masa hanya 90 minit selepas jualan dibuka pada pukul 11 pagi, mencetuskan reaksi hangat dalam kalangan peminat yang menyamakan pengalaman itu dengan ‘perang siber’.
Laman web rasmi jualan seperti GoLive Asia dan Hello Universe Malaysia turut mengalami gangguan teknikal, termasuk laman yang tidak boleh diakses, sistem tergendala sebelum jualan bermula, serta ralat pelayan (‘server error’) lebih sejam.
Kali terakhir kumpulan itu mengadakan konsert di Malaysia ialah pada era The Black Parade World Tour sekitar 2007-2008 di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat tempatan.
Kemunculan semula MCR selepas lebih 18 tahun disambut penuh nostalgia oleh peminat yang tidak sabar untuk menghidupkan semula memori zaman kegemilangan mereka.

