GEORGETOWN – Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang mendakwa kereta dipandunya terkena anak panah dipercayai dilepaskan dari sebuah padang di Jalan Macalister, di sini.
Video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan sebuah kereta berwarna putih dengan pintu kanan belakang tertusuk anak panah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang, Rabu lalu ketika mangsa memandu dari Ayer Itam menuju ke Jalan Pangkor.
“Ketika melalui Jalan Macalister, tiba-tiba anak panah yang dipercayai datang dari arah padang berhampiran, terkena pintu kanan bahagian belakang kereta.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).
Hasil siasatan mendapati terdapat aktiviti latihan sukan memanah yang dijalankan di padang sekolah bersebelahan jalan berkenaan, di bawah anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang.
“Latihan itu dihentikan pada Khamis, sehari selepas kejadian dilaporkan, selain perkara ini turut dimaklumkan kepada MSN Pulau Pinang serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden tersebut bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan polis.

