KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan serantau, Firefly, melakar pencapaian baharu semalam apabila secara rasmi memulakan operasi pesawat jet pertamanya dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tawau, Sabah.
Langkah bersejarah ini menyaksikan pemindahan operasi pesawat jet Firefly daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ke KLIA, selari dengan pelan pengembangan strategik syarikat di bawah naungan Malaysia Aviation Group (MAG).
Penerbangan sulung FY2574 berlepas tepat jam 4.15 petang dan selamat mendarat di Tawau pada jam 7 malam. Sambutan istimewa turut diadakan di pintu berlepas KLIA, di mana penumpang diraikan dengan cenderahati eksklusif sempena pelancaran ini.
Acara berkenaan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi MAG termasuk Ketua Pegawai Operasi Firefly, Kapten Hamdan Che Ismail, dan Ketua Pegawai Komersial Bahagian Penerbangan MAG, Dersenish Aresandiran.
Penerbangan sulung ke Tawau itu mendapat sambutan memberangsangkan, dengan kadar muatan melebihi 98 peratus mencerminkan keyakinan pengguna terhadap laluan baharu ini.
Menurut Kapten Hamdan, pelancaran ini adalah satu titik penting dalam usaha Firefly memperluaskan jangkauan perkhidmatannya dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia.
“Permulaan operasi jet dari KLIA merupakan satu lonjakan strategik untuk memperkukuh jaringan domestik dan serantau kami. Ia bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, tetapi juga memberi nilai tambah kepada penumpang dari segi kemudahan dan fleksibiliti,” katanya.
Perkhidmatan harian dua hala KLIA–Tawau ini bukan sahaja menghubungkan Semenanjung dengan Sabah, malah dijangka menyokong pertumbuhan pelancongan serta aktiviti ekonomi antara kedua-dua wilayah.
Sebagai sebahagian daripada pelan peluasan rangkaian, Firefly turut merancang untuk melancarkan laluan baharu dari KLIA ke beberapa destinasi utama lain seperti Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai pemain penting dalam industri penerbangan domestik dan serantau.
Firefly juga mengekalkan tawaran nilai tambah kepada penumpang termasuk elaun bagasi daftar masuk 10kg secara percuma, snek dalam penerbangan dan fleksibiliti menukar penerbangan tanpa caj tambahan.
Penumpang yang membuat sambungan dengan Malaysia Airlines turut menikmati pengalaman perjalanan yang lancar, termasuk elaun bagasi dan hidangan percuma sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik dalam kumpulan MAG.
Untuk keselesaan tambahan, penumpang boleh membuat pratempahan makanan dengan pelbagai pilihan termasuk hidangan panas berinspirasi Asia dan snek tempatan yang ditawarkan pada harga istimewa. Pembelian makanan juga boleh dilakukan dalam penerbangan.
Dengan gabungan operasi pesawat jet dari KLIA dan turboprop dari Subang, Firefly kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang mudah diakses, selesa dan berpatutan selaras dengan matlamat MAG untuk mewujudkan rangkaian udara yang menyeluruh di Malaysia dan rantau ASEAN.

