“Kalau jauh dari jantung, teruskan je”, Evertts Gomes nekad beraksi walaupun bahu terkehel

CYBERJAYA – Pelakon muda berbakat, Evertts Gomes, mendedahkan dirinya nyaris berdepan kecederaan serius apabila bahu kirinya terkehel sewaktu melakonkan adegan pertarungan dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.

Insiden yang berlaku ketika penggambaran itu begitu mengejutkan apabila Evertts terpaksa mendapatkan bantuan ‘stuntman’ untuk menolak semula kedudukan bahunya di lokasi, sebelum meneruskan lakonan walaupun menahan kesakitan.

“Bahu saya terkehel semasa fight scene. Nasib baik ada stuntman tolong tolakkan balik, lepas tu saya terus sambung berlakon walaupun masih sakit. Sampai sekarang pun belum sempat ke hospital sebab jadual agak padat,” katanya ketika ditemui MYBERITA pada sidang media Watch Party Thariq Ridzuwan: His Treasure with Fans, di sini, malam tadi.

Menurut Evertts, kecederaan kali ini antara yang paling teruk pernah dialaminya kerana banyak babak aksi memerlukan pergerakan bahu kiri yang masih belum pulih.

Lebih mengejutkan, ini bukan kali pertama pelakon berusia 20-an itu berdepan situasi ngeri di set penggambaran. Dalam drama popular Kelas Tahanan Cikgu Hiragi, Evertts pernah terkena serpihan kaca masuk ke mata selepas sebuah lampu dipecahkan ke arah pelakon Nadhir Nasar.

“Masa tu saya disuruh basuh mata dan titiskan ubat sebelum sambung balik berlakon. Walaupun sakit, saya cuba habiskan juga sebab tak nak ganggu momentum penggambaran,” katanya.

Berbekalkan pengalaman dalam seni bela diri campuran (MMA), tinju, taekwondo dan muay thai, Evertts lebih selesa melakonkan sendiri babak aksi tanpa menggunakan pelakon pengganti. Namun, pengorbanannya itu membuatkan dirinya sedar betapa pentingnya penjagaan kesihatan.

“Selagi saya rasa okay dan tak teruk sangat, saya akan buat sendiri. Macam ibu saya pernah pesan, kalau kecederaan tu jauh dari jantung, teruskan je. Cuma sekarang saya sedar kepentingan penjagaan diri sebab saya pun tak ada insurans,” ujarnya.

Evertts menegaskan, setiap insiden yang berlaku bukan sekadar cabaran, tetapi pengajaran berharga untuk dirinya lebih berhati-hati.

BACA JUGA:  Qasrina Karim anggap kritikan sebagai pemangkin, bukan penghalang

“Kalau tersalah ‘landing’ kali ini, untuk babak seterusnya saya dah tahu cara nak betulkan teknik. Itu semua proses pembelajaran,” katanya penuh semangat.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Sambutan HAWANA 2026 angkat tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026...

Pelakon Jalil Hamid meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Dunia seni tanah air dikejutkan dengan...

Anak Nana Mahazan, Althea peserta pertama tersingkir minggu ketiga TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan seni penyanyi muda, Althea bersama...

Jangan sekadar statistik, pendidikan perlu ada hasil – Zambry

KUALA LUMPUR - Kongres Pendidikan Bumiputera tampil dengan pendekatan...

Agong, Raja Permaisuri seru kebajikan pekerja terus diperkasa

KUALA LUMPUR - Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah...