REMBAU – Keluarga wartawan Allahyarhamah Lailatul Qadrina Kamarulzaman hari ini menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib keluarga itu, susulan pemergian beliau baru-baru ini.
MYBERITA sebelum ini melaporkan bahawa seorang wartawan MYBERITA telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 September lalu, jam 1:30 pagi, akibat komplikasi jantung.
Berita pemergian beliau mengejutkan masyarakat, pengikut termasuk menerima ucapan takziah daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Lailatul memulakan kerjaya beliau bersama MYBERITA pada tahun 2022 sebagai penerbit kandungan digital. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau dikenali sebagai seorang pekerja yang berdedikasi, rajin menghasilkan kandungan bermutu tinggi dan banyak berkongsi kisah melalui media digital. Kepergiannya meninggalkan satu ruang kekosongan dalam pasukan MYBERITA dan dunia kewartawanan digital.
Tabung Kasih@HAWANA adalah inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), sebagai satu program bantu-membantu kepada pengamal media yang menghadapi kesusahan, sama ada dari aspek kesihatan, kewangan atau lain-lain cabaran.
Sejak pelancarannya pada 2023 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), inisiatif ini telah membantu ratusan pengamal media di seluruh negara.

