KUALA LUMPUR â Kira-kira 200 kesan tikaman ditemui pada badan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui mati dalam tandas di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selasa lalu.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping, berkata hasil penjelasan ahli patologi mendapati kecederaan anak bongsunya itu meliputi bahagian leher dan rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka.
âAnak saya sudah menjadi mangsa. Saya harap netizen hentikan penyebaran cerita palsu termasuk dakwaan tidak benar kononnya dia dirogol. Itu semua tidak betul. Saya hanya mahu tahu kebenaran, apa sebenarnya yang berlaku kepada anak saya,â katanya pada sidang media di Nirvana Memorial Centre, di sini, hari ini.
Menurut Lee Ping, anak perempuannya itu merupakan pelajar yang berdisiplin dan aktif dalam aktiviti sukan seperti bola tampar serta baru memenangi tempat kedua dalam kejohanan badminton di ibu kota.
âDia sangat menyayangi keluarga dan tahu menguruskan masa dengan baik. Kami masih terkejut dan sukar menerima apa yang berlaku,â ujarnya dengan nada sebak.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mangsa mengenali suspek berusia 14 tahun itu walaupun kedua-duanya bersekolah di tempat sama.
âMereka tidak pernah berjumpa atau berhubung. Tiada surat, tiada mesej atau apa-apa kaitan. Suspek dikatakan memanjat masuk ke ruang tandas dan bertindak menikam mangsa sebelum melarikan diri. Anak saya sempat menjerit dan didengar guru, namun dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah,â jelasnya.
Dalam pada itu, keluarga turut menafikan dakwaan tular bahawa bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim, mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek.
âPihak keluarga sudah membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu itu,â katanya.
Lee Ping turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penyebaran poster kod QR palsu yang menggunakan nama keluarganya bagi tujuan sumbangan, selepas terdapat cubaan penipuan dikesan.
Mayat mangsa dijangka akan disemadikan pada 20 Oktober ini selepas semua urusan pengebumian selesai.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan maut dipercayai ditikam oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di sekolah berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata suspek telah ditahan dan dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

