Iklanspot_img

Tiga menteri angkat sumpah Senator penggal kedua

KUALA LUMPUR – Tiga menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi menyambung penggal kedua perkhidmatan mereka sebagai Senator.

Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Upacara tersebut berlangsung di Dewan Negara di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah. Pelantikan semula ketiga-tiga tokoh itu yang pertama kali mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022 berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Disember 2028.

Dalam ucapannya, Awang Bemee menzahirkan harapan agar ketiga-tiga Senator terbabit dapat terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen dan profesionalisme.

Menurut beliau, pelantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, manakala tempoh pelantikan tertakluk kepada Perkara 45(3) dan 45(3A).

“Bagi pihak Dewan yang mulia ini, tahniah kepada tiga Senator yang kembali ke Dewan Negara dan selamat berkhidmat semula.

“Jika terus diberikan amanah dalam pentadbiran, maka jalankan tugas dengan berkaliber serta memantapkan peranan Senator di Dewan ini,” katanya.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com
Iklanspot_img
ARTIKEL BERKAITAN
Iklanspot_img
Iklan