KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Menurut pertuduhan, Albert didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM140,000, selain kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk membantu syarikat miliknya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tidak ada kaitan dengan urusan rasmi prinsipal.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur dan Presint 14, Putrajaya, antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Albert diikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Januari ini.


