Rabu | 28/10/2026 | 8:03:27 pm
HomeEkonomiTambang ECRL diumum hujung Oktober, orang ramai diminta jangan percaya spekulasi

Tambang ECRL diumum hujung Oktober, orang ramai diminta jangan percaya spekulasi

PETALING JAYA – Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tular di media sosial kerana kadar rasmi perkhidmatan itu dijangka diumumkan menjelang akhir Oktober ini.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) memaklumkan, kadar tambang berkenaan kini berada pada peringkat akhir penilaian dan kelulusan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurut MRL, pengumuman rasmi akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan menerusi saluran komunikasi yang berkaitan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai berhubung kadar tambang sebenar.

“Orang ramai perlu menunggu pengumuman rasmi menerusi saluran komunikasi Kementerian Pengangkutan, MRL dan ECRL bagi mengelakkan kekeliruan berhubung kadar tambang sebenar,” katanya.

MRL turut menegaskan bahawa kadar tambang yang bakal ditetapkan akan mengambil kira kepentingan rakyat serta menawarkan nilai terbaik kepada pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, MRL optimistik perkhidmatan ECRL dapat memulakan operasi komersial lebih awal, iaitu pada pertengahan Disember 2026, bersempena cuti sekolah akhir tahun.

Perkhidmatan itu dijangka mempercepatkan perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang, apabila perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dianggarkan mengambil masa kira-kira empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan raya.

Selain menyediakan pilihan pengangkutan alternatif, ECRL juga dijangka merancakkan sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi di kawasan yang dihubungkan sepanjang laluan berkenaan.

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular