Trio penyampai Era FM janji ‘comeback’ meriahkan pagi peminat

Menurut Nabil, mereka bertiga terharu dengan sokongan dan doa yang diterima daripada para pendengar sepanjang isu tersebut hangat diperkatakan di media sosial. (Foto Instagram era.je)


KUALA LUMPUR – Tiga penyampai radio segmen 3 Pagi Era, iaitu Nabil Ahmad, Radin Amir, dan Azad Jasmin, berjanji akan kembali menceriakan pendengar selepas direhatkan susulan kontroversi membabitkan sebuah video yang dikatakan menyentuh sensitiviti perkauman baru-baru ini.
 
Menurut Nabil, mereka bertiga terharu dengan sokongan dan doa yang diterima daripada para pendengar sepanjang isu tersebut hangat diperkatakan di media sosial.
 
“Alhamdulillah, kami masih bersama dan sangat merindui suasana di konti.
 
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat dan pendengar setia Era FM yang tidak putus-putus memberikan mesej, komen, serta sokongan yang luar biasa kepada kami,” katanya dalam satu video yang dimuat naik semalam.
 
Selain penghargaan kepada peminat, mereka turut berterima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membantu dalam urusan berkaitan siasatan terhadap kontroversi tersebut.
 
Dalam pada itu, mereka mengambil kesempatan untuk berehat sepanjang tempoh penggantungan dan berharap dapat kembali menghiburkan pendengar tidak lama lagi.
 
“Era FM dan Astro sentiasa menyokong kami dalam melalui cabaran ini. Kami juga amat menghargai pihak media, MCMC, serta PDRM yang telah membantu dalam pelbagai aspek.
 
“Bersempena bulan penuh keberkatan ini, kami mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum kembali menceriakan hari-hari anda,” tambahnya.
 
Sementara itu, Azad menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
 
“Ketika ini, perkara paling penting adalah kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus bersatu padu dan saling menyokong,” katanya.
 
Kelmarin, MCMC mengumumkan bahawa Maestra Broadcast Network System Sdn. Bhd. dikenakan kompaun sebanyak RM250,000. Namun, lesen penyiaran radio tidak digantung.
 
Kompaun tersebut dikeluarkan selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025) berhubung pemuatan naik kandungan jelik di akaun rasmi TikTok Era FM.
 
Pada 4 Mac lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, telah mengarahkan MCMC untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap video tular yang memaparkan tiga penyampai radio Era FM didakwa mempersendakan upacara keagamaan lain.
 
Susulan itu, Astro dalam kenyataan rasmi mengesahkan penggantungan tugas tiga penyampai radio terbabit serta dua lagi kakitangan.
BACA JUGA:  Panik disangka hujan meteor, rupanya serpihan roket terbakar
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...