KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa akses kepada penjagaan kesihatan awam, sistem perubatan yang kukuh serta rantaian bekalan global yang selamat bukanlah isu sampingan, sebaliknya merupakan tunjang kestabilan negara dan keamanan dunia.
Menerusi ciapan di platform X pada Selasa, Anwar berkata perkara itu ditekankan beliau semasa menyampaikan pendirian Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS.
“Saya tegaskan pendirian Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS bahawa apabila kita memperkukuh asas-asas ini, kita bukan sahaja melindungi rakyat kita sendiri malah turut menyumbang kepada kebaikan dunia sejagat,” katanya.
Akses awam kepada penjagaan kesihatan, sistem perubatan yang kukuh dan berdaya tahan, serta rantaian bekalan global yang selamat bukanlah isu sampingan tetapi ia adalah tunjang kestabilan negara dan keamanan dunia.
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) July 8, 2025
Saya tegaskan pendirian Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS… pic.twitter.com/RTbBkRTzOu
Tambah Anwar, solidariti dan tanggungjawab bersama amat diperlukan untuk membina masa depan yang lebih selamat dan sihat untuk semua.
Sidang Kemuncak BRICS yang melibatkan negara-negara pesat membangun seperti Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan turut mengundang penyertaan beberapa negara luar termasuk Malaysia bagi membincangkan isu global termasuk kesihatan, ekonomi dan keselamatan antarabangsa.

