KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa 15 September 2025 (Isnin) akan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Pengumuman tersebut dibuat dalam majlis Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang berlangsung pagi ini, sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap perpaduan serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia.
“Hari kelepasan ini bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya.
Langkah ini turut dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memberi ruang kepada rakyat menikmati cuti panjang hujung minggu bersempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September (Selasa).
Cuti tambahan ini dijangka memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk sektor pelancongan domestik dan industri kecil, selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
Pengumuman itu turut disambut baik oleh warga maya di pelbagai platform media sosial yang rata-ratanya bersyukur dan teruja untuk merancang aktiviti bersama keluarga serta rakan-rakan menjelang cuti tersebut.

