SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) mengesahkan hanya akan bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus memberi laluan kepada rakan kerjasama di baki 11 kerusi.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Turut hadir Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan parti serta ribuan penyokong.
Daripada 25 kerusi yang ditandingi BN, UMNO akan mewakili gabungan itu di 16 kerusi, MCA di tujuh kerusi, manakala MIC bertanding di dua kerusi.
Mohamad berkata, strategi pembahagian kerusi itu dibuat berlandaskan persefahaman dalam kalangan parti yang bekerjasama bagi memastikan peluang terbaik untuk membentuk kerajaan negeri.
“Kita memasuki pilihan raya kali ini bersama rakan yang boleh dipercayai. Persefahaman ini penting bagi memastikan pertandingan yang lebih tersusun dan memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya ketika berucap.
Beliau berkata, fokus BN kini adalah menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan setiap calon dapat menyampaikan mesej dan tawaran gabungan itu kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Berikut senarai calon BN bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16:
| DUN | Calon |
|---|---|
| N01 Chennah | Siow Kong Choon |
| N02 Pertang | Datuk Jalaluddin Alias |
| N03 Sungai Lui | Mohd Razi Mohd Ali |
| N06 Palong | Mustapha Nagoor |
| N07 Jeram Padang | Mohd Zaidy Abdul Kadir |
| N08 Bahau | Chong Fui Ming |
| N09 Lenggeng | Mohd Asna Amin |
| N10 Nilai | Lai Chien Kong |
| N12 Temiang | Leaw Kok Chan |
| N15 Juasseh | Ismail Lasim |
| N16 Seri Menanti | Muhammad Sufian Maradzi |
| N17 Senaling | Mohamad Qayyum Abd Jalil |
| N18 Pilah | Liza Md Yasin |
| N19 Johol | Saiful Yazan Sulaiman |
| N20 Labu | Siti Nur Umaira Hasim |
| N22 Rahang | Yap Siok Moy |
| N24 Seremban Jaya | Thinalan T. Rajagopalu |
| N26 Chembong | Zaifulbahri Idris |
| N27 Rantau | Datuk Seri Mohamad Hasan |
| N28 Kota | Suhaimi Aini |
| N29 Chuah | Pau Jeou Ching |
| N32 Linggi | Mohd Faizal Ramli |
| N33 Sri Tanjung | Achutan Alagan |
| N35 Gemencheh | Suhaimizan Bizar |
| N36 Repah | Koh Kim Swee |
Sebanyak 11 kerusi yang tidak ditandingi BN ialah DUN Klawang, Serting, Lobak, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang dan Gemas.
PRN Negeri Sembilan kali ini membabitkan kesemua 36 kerusi DUN dengan 19 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Julai 2026 sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 28 Julai, manakala pengundian bagi pengundi biasa berlangsung pada 1 Ogos ini.


