Thailand dakwa Kemboja langgar perjanjian gencatan senjata

SURIN – Tentera Thailand hari ini menuduh Kemboja melanggar gencatan senjata beberapa jam selepas perjanjian damai antara kedua-dua negara mula berkuat kuasa, dengan mendakwa pertempuran bersenjata masih berterusan di kawasan sempadan.

Gencatan senjata tanpa syarat itu dipersetujui susulan rundingan damai yang berlangsung di Malaysia pada Isnin, dan dijadual bermula tepat tengah malam Selasa, bagi menghentikan konflik yang tercetus di sekitar kuil purba di kawasan yang menjadi pertikaian sepanjang sempadan 800 kilometer antara kedua-dua negara.

Namun, menurut jurucakap tentera Thailand, Kolonel Winthai Suwaree, tentera Kemboja didakwa melancarkan serangan bersenjata ke beberapa kawasan dalam wilayah Thailand sejurus selepas perjanjian mula dilaksanakan.

“Ini pelanggaran perjanjian yang disengajakan dan percubaan jelas untuk menjejaskan kepercayaan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, tentera Thailand telah bertindak balas berdasarkan hak untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan tersebut.

Dalam reaksi balas, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata menafikan sebarang kejadian pertempuran bersenjata dan menegaskan bahawa keadaan adalah terkawal.

“Tiada pertempuran bersenjata antara satu sama lain di mana-mana wilayah,” katanya.

Seorang wartawan AFP yang berada di bandar Samraong, Kemboja kira-kira 20 kilometer dari sempadan melaporkan bahawa bunyi letupan berhenti dalam masa 30 minit sebelum tengah malam, dan suasana kekal tenang hingga ke pagi.

“Barisan hadapan sudah berkurangan sejak gencatan senjata pada 12 tengah malam.” kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet yang turut mengesahkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook.

Konflik yang memuncak sejak Khamis lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 38 orang maut dan hampir 300,000 penduduk dipindahkan dari kawasan sempadan kedua-dua negara, mendorong campur tangan diplomatik daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hujung minggu lalu.

BACA JUGA:  Malaysia sedia hantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja – PM Anwar

Pihak berkuasa Thailand memaklumkan seramai 11 tentera dan 14 orang awam negara itu terbunuh, manakala Kemboja mengesahkan lima anggotanya dan lapan orang awam turut terkorban.

Setakat ini, lebih 138,000 rakyat Thailand telah dipindahkan dari kawasan sempadan, manakala sekitar 140,000 rakyat Kemboja turut kehilangan tempat tinggal.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...