SHAH ALAM – Polis Selangor meningkatkan kawalan keselamatan terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan ahli keluarganya susulan insiden serangan terhadap anak beliau di Putrajaya pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan perkara itu namun enggan mendedahkan maklumat lanjut atas faktor keselamatan.
“Saya tidak dapat memberi butiran terperinci kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Menurut beliau, anak Rafizi kini berada dalam keadaan stabil selepas siasatan awal mendapati mangsa telah disuntik di lengan kiri menggunakan picagari oleh suspek.
“Sampel darah telah diambil oleh pihak hospital dan kita sedang menunggu laporan perubatan,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 12 tahun difahamkan tidak mengalami kecederaan fizikal.
Kejadian berlaku di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang di sebuah pusat beli-belah.
Rafizi dalam kenyataannya memaklumkan anaknya diheret dan disuntik oleh dua lelaki berpakaian hitam lengkap bertopi keledar yang menutup muka sepenuhnya.
Serangan berlaku ketika beliau bersama isteri dan anak sedang menuju ke kereta.
Polis telah merakam keterangan enam individu dan siasatan sedang dijalankan.

