KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan pihak polis sudah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor bedah siasat dalam kes kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menurut MCMC, suspek dikesan di Kota Damansara lewat malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan, selain peranti komunikasinya turut dirampas bagi tujuan analisis.
“Suspek berjaya dikesan berdasarkan maklumat daripada dua individu lain yang pernah menyertai siaran langsung TikTok bersama suspek. Hasilnya, polis membawa suspek ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu, hari ini.
MCMC menegaskan perbuatan menyebarkan maklumat palsu berhubung kes sensitif seperti kematian, tragedi atau kemalangan bukan sahaja menyinggung perasaan keluarga mangsa, malah boleh mengelirukan masyarakat serta mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya.
Selain itu, polis turut menyiasat suspek mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam.
Sabtu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mendedahkan individu berkenaan melalui siaran langsung di TikTok mendakwa kononnya hadir ketika proses bedah siasat Allahyarham pada 10 Ogos.
Namun, semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan lelaki itu bukan pakar mahupun kakitangan kementerian terbabit.
Perkara itu turut disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, melalui laporan rasmi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Nor Azimi Yunus, yang memperoleh maklumat tepat daripada pakar forensik yang mengendalikan kes tersebut.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Kuburnya kemudian digali semula untuk proses bedah siasat kedua, manakala Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September ini sebagai tarikh bermulanya inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Prosiding inkues dijadual berlangsung selama 19 hari.

