KLANG – Suasana penuh meriah menyelubungi bandar diraja ini apabila ribuan rakyat membanjiri laluan utama bagi menyaksikan Perarakan Istiadat Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, hari ini.
Perarakan sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah itu menyaksikan keberangkatan tiba Tengku Amir Shah menaiki kenderaan istana jenis Rolls Royce, disambut sorakan rakyat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah itu.
Istiadat penuh gilang-gemilang itu turut diserikan dengan keberangkatan kerabat Diraja serta penglibatan Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat. Paluan kompang daripada kumpulan Istana Diraja Selangor turut mengiringi suasana, menambah seri perarakan tersebut.
Seawal 6.30 pagi lagi, lebih 2,000 rakyat sudah memenuhi laluan perarakan bagi memberi sokongan dan berkongsi kegembiraan. Ramai yang turut mengibarkan bendera negeri Selangor sebagai tanda kasih dan taat setia kepada institusi diraja.
Istiadat Akad Nikah Diraja dijadual berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada pukul 10 pagi ini, sekali gus melengkapkan satu lagi lembaran sejarah dalam institusi Kesultanan Selangor.

