Rabu, 12 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
NasionalImigresen henti pasport sah lebih 10 tahun susulan isu tular

Imigresen henti pasport sah lebih 10 tahun susulan isu tular

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan isu tular membabitkan beberapa pemegang PMA yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, namun berdepan kesulitan ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Menurutnya, Jabatan Imigresen sebelum ini telah merujuk perkara tersebut kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan menerima maklum balas bahawa tiada halangan terhadap pelaksanaan PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.

Bagaimanapun, kekeliruan timbul apabila beberapa pemegang pasport berkenaan menghadapi masalah ketika proses daftar masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.

“Walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru, bagi mengatasi kekeliruan tersebut, Jabatan Imigresen menetapkan tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.

Zakaria berkata, penetapan itu bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA selain mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.

Beliau berkata, pengeluaran PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan sehingga isu berkenaan dapat diselesaikan bersama pihak syarikat penerbangan dan ICAO.

Dalam pada itu, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

“Pemegang PMA yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport,” katanya.

Jabatan Imigresen turut memaklumkan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.

Menurut Zakaria, langkah tersebut diambil bagi memastikan urusan perjalanan rakyat Malaysia tidak terus terjejas akibat kekeliruan berhubung tempoh sah laku pasport.

Terdahulu, beberapa perkongsian warga Malaysia tular di media sosial selepas mereka mendakwa disekat daripada menaiki penerbangan ketika berada di luar negara kerana tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun.

Jabatan Imigresen berkata pihaknya kekal komited untuk menambah baik pelaksanaan PMA bagi memberikan kemudahan kepada rakyat, selain memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-