Khamis, 11 Jun 2026

‘Chubby salah, kurus pun salah’, Adam Lee dituduh ambil barang terlarang

KUALA LUMPUR – Pelakon Adam Lee tampil menjelaskan perubahan fizikal yang dialaminya kebelakangan ini bukanlah berpunca daripada masalah kesihatan atau gaya hidup tidak sihat, sebaliknya hasil disiplin ketat serta komitmen serius dalam sukan tempur Muay Thai yang diceburinya.

Adam atau nama sebenarnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, berkata setiap fasa perubahan tubuh badannya sering menjadi perhatian umum dan tidak terlepas daripada pelbagai tafsiran, meskipun hakikatnya ia berkait rapat dengan rutin latihan dan persiapan pertandingan.

“Bila badan besar, orang kata saya chubby. Bila kurus pula, timbul tuduhan kononnya saya sakit, ambil bahan terlarang dan macam-macam lagi. Sedangkan mereka tak pernah ikut perjalanan hidup saya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Menurut pelakon filem Babah itu, penurunan berat badan yang ketara berlaku kerana beliau sedang menjalani persiapan rapi untuk menyertai kejohanan Fury Muay Thai yang dijadualkan berlangsung pada 28 Disember ini.

“Saya akan bertanding dalam kategori 73 kilogram. Selepas perlawanan nanti, berat badan akan dinaikkan semula ke 77 kilogram,” jelasnya, menegaskan perubahan tersebut bersifat sementara dan dirancang.

Dalam pada itu, suami kepada aktres Sweet Qismina itu mengakui rasa kesal apabila usaha dan disiplin yang diamalkannya disalah tafsir oleh segelintir pihak, namun memilih untuk kekal fokus terhadap matlamatnya dalam sukan tersebut.

Bagaimanapun, Adam tetap menzahirkan penghargaan kepada peminat dan penyokong yang terus memberikan sokongan tanpa mengira perubahan fizikal yang dialaminya.

“Apa-apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya, tak kira badan kurus, keding atau chubby. Sokongan itu sangat saya hargai,” katanya.

Sebelum ini, penampilan Adam ketika menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABP37) mencuri perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan dia kelihatan terlalu kurus dan tidak sihat.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com