KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju automotif negara apabila melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) nasional terbaharu, Perodua Traz, yang bukan sahaja menyasarkan pengguna bandar, malah dijangka merancakkan ekosistem industri automotif tempatan.
Ditawarkan pada harga bermula RM76,100, Perodua Traz dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM563.3 juta sejak Mei 2021, dengan kandungan tempatan mencecah 95 peratus, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan vendor dan rantaian bekalan domestik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengenalan Traz dijangka memberi impak signifikan kepada sektor pembuatan komponen serta menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif negara dalam jangka panjang.
âModel Traz dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. di Sungai Choh, Rawang, dan dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi Perodua bermula 2026 dan seterusnya,â katanya pada Majlis Pelancaran Perodua Traz, di sini, hari ini.
SUV lima tempat duduk itu direka khusus untuk kegunaan bandar dan keluarga moden, sekali gus melengkapkan rangkaian SUV Perodua sedia ada seperti Ativa dan Aruz.
Perodua Traz ditawarkan dalam dua varian, iaitu X dan H, dengan julat harga antara RM76,100 hingga RM82,000, menyasarkan pengguna yang mahukan SUV kompak dengan ciri praktikal pada harga kompetitif.
Dari segi prestasi, Traz dikuasakan enjin 1.5 liter 2NR-VE DVVT-i yang menghasilkan kuasa 105hp dan tork 138Nm, dipadankan dengan transmisi D-CVT. Model ini mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 21.3 km/l mengikut Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.
Antara ciri ditawarkan termasuk Power Back Door dengan Kick Sensor serta corong penyaman udara untuk penumpang belakang, menekankan aspek keselesaan dan kemudahan harian.
Pilihan warna yang disediakan ialah red cranberry, electric blue dengan bumbung hitam, glittering silver, ivory white dan granite grey.
Penghantaran Perodua Traz dijangka bermula dalam masa terdekat di Semenanjung Malaysia.

