KUALA LUMPUR – Tindakan mencurigakan tiga lelaki yang datang ke rumah penduduk dengan alasan mahu memeriksa tong gas mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Taman Karang Indah, Kesang, Muar semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari apabila tiga individu terbabit didakwa memperkenalkan diri kononnya mahu melakukan pemeriksaan tong gas di rumah penduduk.
Bagaimanapun, menerusi satu hantaran yang tular di Threads, lelaki berkenaan disyaki mempunyai niat lain selepas tindakan mereka dilihat mencurigakan.
“Dia orang ini kerja tipu orang, datang rumah orang nak tipu, jangan percaya,” tulis seorang pengguna dalam hantaran tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai turut berkongsi pengalaman masing-masing serta menasihati penduduk supaya lebih berhati-hati sekiranya didatangi individu tidak dikenali.
Seorang pengguna, mendakwa kejadian hampir sama pernah berlaku di rumah keluarganya minggu lalu.
“Baru jadi kat rumah ayah minggu lepas. Dia datang rumah nak periksa tong gas. Tapi ayah saya halau mereka dengan parang,” katanya.
Ramai pengguna turut menasihati orang ramai supaya tidak membenarkan individu tidak dikenali memasuki rumah.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing. -MYBERITA

