BAHAU – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dirakam mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di halaman sebuah rumah di Bahau.
Ketua Polis Daerah Jempol, Norhisham Mustapar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.21 petang, Rabu, daripada seorang wanita.
Menurutnya, wanita berkenaan memaklumkan bahawa dia terlihat rakaman video kejadian mencuri pakaian dalam wanita ketika melayari media sosial.
“Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah taman perumahan di Bahau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah sebuah rumah yang didiami oleh seorang wanita warga tempatan.
Ujarnya, suspek yang identitinya masih belum dikenal pasti dipercayai telah menceroboh masuk ke kawasan rumah mangsa dengan memanjat pagar sebelum mengambil sehelai pakaian dalam milik mangsa yang dijemur di bahagian luar rumah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes dan suspek diminta tampil membantu siasatan pihak polis.
“Maklumat mengenai suspek boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Nor Effendi Mohd Tahar di talian 06-4582222. Pihak polis memberi jaminan semua maklumat yang diterima akan disiasat dengan teliti,” katanya.
Tambah beliau, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MYBERITA

