KUALA LUMPUR – Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah mendedahkan pernah mencacah tatu pada badannya bukan kerana tekanan hidup, sebaliknya minat terhadap seni tersebut sebelum beliau mengenali keindahan Islam.
Menurutnya, minat itu bermula dengan tatu kecil sebelum menjadi semakin ketagih untuk menambah lebih banyak corak pada tubuh.
“Sebelum kembali kepada Islam, saya buat tatu bukan sebab tekanan atau nak lari daripada masalah, tetapi sebab saya suka. Bermula kecil, kemudian tambah lagi dan lagi,” katanya.
Tambah beliau, pada satu tahap, keinginan itu menjadi semakin kuat sehingga mahu memenuhi hampir seluruh badan dengan tatu.
Namun, segalanya berubah apabila hatinya mula tersentuh untuk berhenti.
“Tanpa sebab yang jelas, saya berhenti. Bukan sebab orang larang, tetapi hati sendiri rasa cukup,” ujarnya.
Adam Corrie yang memeluk Islam pada Julai 2007 berkata, selepas memahami ajaran agama, beliau menyedari bahawa perkara yang dahulu dianggap indah bukanlah jalan yang diredai.
“Hari ini, saya seorang hamba Allah yang sudah bersyahadah. Tatu itu hanyalah sejarah, bukan untuk dibanggakan atau diulang,” katanya.
Beliau kini memberi fokus kepada usaha memperbaiki diri serta menjaga akidah sebagai keutamaan dalam kehidupan.
“Yang penting sekarang adalah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik setiap hari. Hidayah itu milik Allah, dan bila Dia panggil, tiada siapa boleh menghalang,” katanya.
Perkongsian tersebut hadir susulan perbincangan hangat di media sosial mengenai isu tatu, sekali gus memberi perspektif berbeza tentang perjalanan perubahan diri seseorang. – MYBERITA

