KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi dialog dalam drama Walid yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, dialog yang dipersoalkan itu tidak mencerminkan kepercayaan peribadi beliau mahupun para pelakon, sebaliknya bertujuan mendedahkan realiti golongan yang menyalahgunakan agama.
“Di mana murtadnya? Sama ada skrip mahupun pelakon yang melafazkan kata-kata itu. Adakah kami percaya dengan lafaz itu? Tidak. Saya tidak iktikad dengan ayat tersebut, begitu juga pelakon,” jelasnya.
Tambah beliau, skrip drama tersebut ditulis dengan rujukan kepada pihak yang lebih arif bagi memastikan mesej yang disampaikan tidak tersasar daripada fakta.
“Saya akan rujuk kepada mereka yang mahir jika melibatkan bidang tertentu, termasuk agama. Ia bukan ditulis secara semberono,” katanya.
Dalam masa sama, Erma menegaskan bahawa masyarakat perlu bijak membezakan antara karya yang menghina agama dengan karya yang bertujuan mendedahkan penyelewengan.
“Tengok drama pun tidak, baru satu klip sudah melatah. Islam itu indah, tetapi ada manusia yang menggunakan agama untuk menyesatkan orang lain, itu yang perlu didedahkan,” ujarnya.
Beliau turut berharap karya seperti Walid mampu membuka mata masyarakat serta memberi keberanian kepada mangsa untuk tampil, selain membendung golongan yang mengambil kesempatan atas nama agama.
Terdahulu, tular satu tangkap layar memaparkan dialog didakwa dilontarkan pelakon dalam drama tersebut yang mengundang reaksi pelbagai pihak di media sosial. – MYBERITA

