KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad kembali ke pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya selepas menjalani rawatan pemulihan susulan kecederaan patah pinggul awal tahun ini
Menerusi perkongsian video di media sosial, beliau dilihat tiba di pejabat dengan diiringi beberapa pegawai yang membantu urusan kerja hariannya.
“Selagi boleh,” tulisnya ringkas pada kapsyen video tersebut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang rata-rata kagum dengan semangat dan kecekalan beliau untuk terus bekerja walaupun telah mencecah usia 100 tahun.
Ada yang menyifatkan beliau sebagai inspirasi, terutama ketika berdepan rasa malas dalam kehidupan seharian.
“Bila ada hari rasa malas, teringat betapa rajinnya Tun walaupun boleh berehat. Tun inspirasi sebenar,” kata seorang pengguna media sosial.
Selain itu, terdapat juga netizen yang mengakui tidak sentiasa bersetuju dengan pandangan beliau, namun tetap menghormati keteguhan dan disiplin yang ditunjukkan.
Terdahulu, Dr. Mahathir dilaporkan mengalami keretakan pada bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya sebelum mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara.
Beliau bagaimanapun tidak menjalani pembedahan atas faktor usia, sebaliknya melalui rawatan pemulihan sebelum kembali aktif menjalankan tugas seperti biasa. – MYBERITA

