Remaja 18 tahun dicekup seludup vape RM396,000 ke Thailand

TUMPAT – Cubaan menyeludup ribuan unit rokok elektronik dan katrij cecair vape ke Thailand tidak kesampaian apabila seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, dekat sini semalam.

Serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari itu turut membawa kepada rampasan vape dan katrij cecair pelbagai perisa yang dianggarkan bernilai RM396,000.

Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sebanyak 2,760 unit rokok elektronik serta 1,200 unit katrij cecair vape daripada jenama yang sama.

Menurutnya, remaja warga tempatan itu dipercayai bertindak sebagai penjaga stor yang menyimpan produk vape sebelum ia dibawa masuk ke Thailand melalui beberapa pangkalan haram di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.

“Hasil risikan dan pemantauan berterusan mendapati premis tersebut digunakan sebagai lokasi penyimpanan produk rokok elektronik yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.

“Siasatan awal juga mendapati produk vape berkenaan dipercayai diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, suspek dipercayai bekerja dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Azam dan berperanan menguruskan penyimpanan serta penghantaran produk berkenaan.

Kesemua barang rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

PGA menegaskan komitmen mereka untuk terus memperketat kawalan di kawasan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.

BACA JUGA:  KPDN Kelantan gagalkan cubaan seludup gula, minyak masak bersubsidi
Sumaiyah Safiah
Sumaiyah Safiah
saf@portalmyberita.com