BUTTERWORTH – Kerajaan hari ini menambah peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA bagi memperkukuh bantuan kebajikan kepada pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan kejayaan tabung berkenaan yang telah memberi manfaat kepada ratusan pengamal media sejak diperkenalkan.
“Setakat ini 773 pengamal media seluruh negara sudah menerima sumbangan berjumlah RM2.26 juta.
“Jadi, ini kerana kejayaan ini, atas semangat ihsan dan kasih, maka Tabung Kasih@HAWANA untuk tahun 2026 ini, kita peruntukkan (tambah) RM1 juta,” katanya ketika merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2026 di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tambahan dana itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pengamal media terus diberi perhatian, terutama mereka yang berdepan kesukaran hidup, masalah kesihatan atau memerlukan bantuan kecemasan.
Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena sambutan HAWANA 2023 diwujudkan khusus bagi membantu pengamal media dan bekas pengamal media menerusi pelbagai bentuk sokongan termasuk bantuan kewangan, kos rawatan perubatan serta kebajikan keluarga.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Bahria Mohd Tamil.
Hadir sama Pengerusi BERNAMA, Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.
Selain pengamal media tempatan, program itu turut disertai delegasi media dari Timor-Leste, Kemboja dan Laos.


