BUTTERWORTH – Kerajaan akan meneruskan Dana Inovasi Media bagi memastikan organisasi media tempatan terus berupaya melaksanakan transformasi digital serta memperkukuhkan daya saing industri dalam landskap media yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu diteruskan susulan keberkesanan dana berkenaan yang telah memberi manfaat kepada puluhan syarikat media di seluruh negara sejak diperkenalkan tahun lalu.
Menurut beliau, daripada RM30 juta yang diperuntukkan sebelum ini, sebanyak RM24.57 juta telah disalurkan kepada 72 syarikat media bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan inovasi dan pendigitalan.
“Kita menyediakan peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian, kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan.
“Jadi, ini berita baik untuk kita. Jalankanlah kerja baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di PICCA@Arena Butterworth, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan melihat peranan media sebagai elemen penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, justeru usaha memperkasakan sektor itu perlu diteruskan secara berterusan.
Beliau menjelaskan, Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menyokong pembangunan projek inovatif yang melibatkan penghasilan kandungan, penggunaan teknologi media baharu serta pelaksanaan strategi digital yang lebih berkesan.
Selain itu, dana berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek pembangunan modal insan menerusi latihan kepada pengamal media, di samping menggalakkan penghasilan kandungan kreatif dan interaktif yang memenuhi keperluan khalayak masa kini.
Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di Butterworth itu menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara bagi meraikan sumbangan mereka kepada pembangunan negara dan pengukuhan ekosistem media tempatan.


