Rabu, 15 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
JenayahYouTuber bola sepak diserang ketika isi angin tayar, polis buru dua suspek

YouTuber bola sepak diserang ketika isi angin tayar, polis buru dua suspek

KUALA LUMPUR – Seorang YouTuber dan pengkritik bola sepak tempatan cedera selepas didakwa diserang dua lelaki dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, Sabtu lalu, dengan polis kini giat mengesan suspek bagi membantu siasatan.

Mangsa, Azizurrahman Zakaria, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika dia sedang mengisi angin tayar keretanya sebelum didatangi dua lelaki yang terus menyerangnya tanpa sebarang amaran.

“Saya sedang mengisi angin kereta apabila tiba-tiba datang dua lelaki yang menendang kepala dan memukul saya tanpa henti. Seorang lelaki kemudian datang cuba membantu,” katanya.

Beliau berkata, selepas dipukul, salah seorang suspek turut merakam video sambil menuduhnya mencuri sebelum kedua-duanya meninggalkan lokasi.

“Dia cakap ‘ini orang curi, ini orang curi’ dan saya tanya balik ‘curi apa?’, tetapi mereka terus beredar,” katanya.

Mengulas kemungkinan serangan itu berkait dengan kandungan atau ulasan bola sepak yang dihasilkannya, Azizurrahman menegaskan beliau tidak mengetahui motif sebenar kejadian dan tidak mengesyaki mana-mana individu.

“Saya tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan sesiapa, tidak berhutang dengan Ah Long, tidak mengganggu isteri orang atau mempunyai masalah samseng jalan raya. Laporan polis sudah dibuat, jadi saya serahkan kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan perubatan mendapati beliau mengalami keretakan pada tulang rongga mata selain kecederaan pada kaki dan tangan, namun keadaan kesihatannya kini semakin pulih walaupun masih sukar bercakap kerana rahang bengkak.

“Alhamdulillah, keadaan semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam, Sabtu lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang mengisi angin tayar didatangi dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC sebelum dipukul berkali-kali dan kejadian itu turut dirakam.

Katanya, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain, manakala motif serangan masih dalam siasatan.

“Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rakaman kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan mangsa ditumbuk dan diterajang beberapa kali sehingga terduduk sebelum orang awam campur tangan bagi meleraikan pergaduhan.

Kedua-dua suspek dilihat memakai topi keledar dan pelitup muka, menyebabkan identiti mereka sukar dikenal pasti.

Untuk rekod, Azizurrahman yang lebih dikenali sebagai Joe Zakaria menerusi saluran YouTube Joe Zakaria (YTSK) aktif menghasilkan kandungan berkaitan jersi, kasut bola serta ulasan mengenai bola sepak tempatan. Saluran itu mempunyai kira-kira 10,900 pelanggan dengan lebih 150 video setakat semakan hari ini.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-