SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang pernah dikurniakan kepada Tan Sri Dr. Mohd. Rais Yatim, dalam satu keputusan yang disifatkan sebagai langkah bagi memelihara martabat dan kehormatan Institusi Diraja negeri itu.
Keputusan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat atas titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pendaftar Darjah merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, penarikan tersebut melibatkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) yang dikurniakan pada 2001 serta Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) yang diterima pada 1979.
“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) (2001) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) (1979) kepada Tan Sri Dr. Mohd. Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi itu tidak memperincikan sebab atau asas yang membawa kepada keputusan penarikan balik kedua-dua darjah kebesaran berkenaan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan balas dikeluarkan oleh Tan Sri Dr. Mohd. Rais Yatim berhubung keputusan tersebut.


