KUALA KRAU – Seorang wanita warga emas mencuri perhatian selepas memiliki nama unik, Entah binti Ta’tahu, yang tertera pada kad pengenalannya.
Wanita berkenaan yang menetap di Kuala Krau, Temerloh, Pahang, berkongsi namanya ketika berbual bersama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said.
Ismail kemudiannya berkongsi video pertemuan itu menerusi akaun TikTok miliknya, selain menunjukkan kad pengenalan wanita berkenaan yang tertera nama Entah binti Ta’tahu.
“Anak-anak Gen Z tak caya (percaya) bila koi koba (saya bagitahu). Nah Mak Cik Entah bawa keluar IC (kad pengenalan). Nama unik ni satu je dalam Malaysia,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman mengenai nama unik dimiliki ahli keluarga mereka.
“Nenek saya nama Sepak binti Tunggul,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna berkata, neneknya bernama Sampah, manakala seorang saudara lelaki dalam keluarganya pula mempunyai nama Pungut.
Sementara itu, seorang pengguna juga berkongsi cerita mengenai individu yang dikatakan mempunyai nama ‘Entah Tak Tahu’.
“Arwah mak saya pernah cerita ada orang nama ‘Entah Tak Tahu’. Kejadian berlaku sebab jururawat itu tanya nama bayi baru lahir.
“Maknya jawab Entah Tak Tahu. Jadi misi (jururawat) tulis nama Entah binti Tak Tahu.
“Cerita itu dengar waktu kecil, tapi baru sekarang jumpa orangnya. Allahuakbar,” katanya.

