KUALA LUMPUR – Individu yang dirakam terbabit dalam pertelingkahan dengan penumpang di Stesen Labu sehingga tular di media sosial bukan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sebaliknya pekerja sebuah syarikat kontraktor yang dilantik menjalankan perkhidmatan di stesen berkenaan.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pekerja terbabit telah digantung tugas serta-merta oleh syarikat kontraktornya sementara siasatan terperinci dijalankan berhubung insiden pada 15 September lalu.
Menurut KTMB, kejadian itu berlaku ketika ratusan penumpang berdepan gangguan perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang selepas sebuah tren terlanggar seekor babi di antara Batang Benar dan Labu pada kilometer 446.092.
Insiden tersebut menyebabkan tren terkandas sebelum kira-kira 300 penumpang diturunkan di Stesen Labu untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
Gangguan itu turut mengakibatkan kelewatan perjalanan sehingga 125 minit berbanding jadual asal.
Susulan keadaan berkenaan, KTMB mengarahkan beberapa kakitangannya dari Stesen Seremban ke Stesen Labu bagi membantu menguruskan pergerakan penumpang yang terjejas.
Dalam masa sama, KTMB menegaskan pihaknya memandang serius pertelingkahan yang berlaku dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan atau tingkah laku tidak profesional ketika berurusan dengan penumpang.
Pihak kontraktor kemudiannya mengambil tindakan segera dengan menggantung tugas individu berkenaan sementara siasatan dijalankan.
KTMB berkata tindakan selanjutnya terhadap pekerja terbabit akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan berhubung kejadian itu.
