KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan di sini, petang ini ketika kemelut membabitkan pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan memasuki perkembangan terbaharu.
- Kenderaan membawa Perdana Menteri yang diiringi pasukan polis dilaporkan memasuki perkarangan istana kira-kira pukul 6 petang.
- Anwar dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri…
- Pertemuan itu menjadi tumpuan susulan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
- Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan memaklumkan, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan seseorang Ahli…
Kenderaan membawa Perdana Menteri yang diiringi pasukan polis dilaporkan memasuki perkarangan istana kira-kira pukul 6 petang.
Anwar dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Pertemuan itu menjadi tumpuan susulan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
Semalam, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan memaklumkan, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Ismail hari ini mengambil pendirian berbeza apabila menegaskan kesemua 10 Exco berkenaan masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ismail, beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana Exco dan berpandangan sebarang penamatan jawatan perlu dibuat atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.
Perkembangan itu sekali gus meletakkan perhatian terhadap sesi menghadap petang ini, ketika wujud perbezaan tafsiran mengenai peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan kedudukan pentadbiran negeri.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi mengenai perkara yang akan dibincangkan dalam sesi menghadap berkenaan. – BERNAMA
