Rabu | 23/09/2026 | 4:35:42 pm
HomeNasionalTaj Izrin pecut emas bersejarah, hadiah kedua buat Malaysia

Taj Izrin pecut emas bersejarah, hadiah kedua buat Malaysia

AICHI – Bermula sebagai pencabar sebelum menutup saingan dengan aksi dominan, Taj Izrin Aiman Taj Madira menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Pelumba negara itu mencipta sejarah apabila muncul juara acara e-sukan Perlumbaan Gran Turismo 7 (GT7), sekali gus menyumbangkan emas sulung e-sukan Malaysia sepanjang penyertaan negara dalam temasya berkenaan.

Dalam saingan akhir di Aichi Sky Expo Hall D, anak didik bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong itu menduduki tempat kedua dalam dua perlumbaan awal untuk mengumpul 16 mata.

Taj Izrin kemudian meningkatkan rentak dalam perlumbaan ketiga dengan mendominasi saingan sebelum menamatkan keseluruhan perlumbaan di kedudukan teratas menerusi 36 mata.

Prestasi konsisten dalam dua perlumbaan awal menjadi asas penting sebelum Taj Izrin mempamerkan aksi lebih agresif pada perlumbaan terakhir.

Kejayaan itu menyusul selepas Adeola Fay Robert menghadiahkan emas pertama Malaysia menerusi acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg), semalam.

Adeola menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam aksi final.

Sementara itu, Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menawarkan ganjaran RM20,000 kepada setiap pasukan e-sukan kebangsaan yang memenangi pingat emas pada temasya kali ini.

Kemenangan Taj Izrin bukan sahaja menambah koleksi pingat kontinjen negara, malah menjadi pencapaian penting buat arena e-sukan Malaysia di pentas Asia.

– Sinar Harian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 23 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|