PETALING JAYA – Kanak-kanak perlu dibekalkan pengetahuan mengenai batas diri dan keselamatan sejak awal supaya mereka tahu mengenal pasti situasi tidak selamat serta mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkara itu antara kepentingan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pendidikan berkaitan seks.
Katanya, pengalaman lebih 15 tahun menguruskan Rumah Perlindungan Bayt Al-Rahmah mendedahkan beliau kepada pelbagai situasi melibatkan gadis bawah umur, kehamilan serta kanak-kanak daripada keluarga yang berdepan keganasan rumah tangga.
“Pengalaman itulah yang selalu mengingatkan saya bahawa ada ilmu yang tidak sepatutnya kita tunggu sehingga sesuatu berlaku untuk diajar. Anak-anak perlu mengenali tubuh sendiri, memahami batas, tahu tentang persetujuan dan tahu mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan sesuatu yang tidak selamat,”katanya dalam kenyataan di media sosial.
Fadhlina berkata, terdapat kanak-kanak yang hanya mendapatkan bantuan selepas sesuatu masalah berlaku, manakala sebahagian yang lain tidak mengetahui batas diri atau saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan pertolongan.
Beliau berkata, kebimbangan ibu bapa mengenai PEERS yang dikhuatiri menyebabkan anak-anak mengetahui perkara yang tidak sepatutnya perlu difahami dalam konteks perkembangan semasa.
Menurutnya, kemajuan teknologi dan perubahan persekitaran sosial menjadikan pendidikan berkaitan keselamatan diri semakin penting.
“Kalau kita memilih untuk diam, ruang itu tidak semestinya kekal kosong. PEERS tidak menghilangkan batas. PEERS membantu anak-anak memahami batas,” katanya.
Fadhlina berkata demikian selepas merasmikan Seminar Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), hari ini. – KOSMO!
