BANGKOK – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan cemerlang apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas menundukkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita di Stadium Nimibutr, hari ini.
Juara Asia itu hanya mengambil masa 38 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-17 ke atas pasangan Jepun yang menghuni ranking ke-59 dunia.
Menurut Wooi Yik, prestasi mereka semakin baik berbanding perlawanan terdahulu dan mereka berjaya melaksanakan strategi serangan seperti dirancang oleh jurulatih.
“Rancangan permainan menyerang kami berjalan dengan baik.
“Pada set kedua kami agak ketinggalan, namun selepas menukar ritma permainan, kami berjaya menguasai semula permainan,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat suku akhir nanti, Aaron-Wooi Yik akan berdepan rakan sepasukan, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang terdahulu menewaskan pasangan Malaysia Kang Khai Xing-Aaron Tai dengan kemenangan 21-11, 21-11 dalam masa hanya 24 minit.
Aaron menyifatkan prestasi pemain muda yang semakin meningkat sebagai petanda positif buat skuad negara.
“Saya gembira melihat mereka bermain dengan baik. Harap mereka terus bersemangat dan beraksi cemerlang.
“Esok kami akan berikan yang terbaik dan biarlah pasangan terbaik yang menang,” katanya.
Bagaimanapun, satu lagi pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan cabaran apabila tumpas kepada pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam perlawanan tiga set 21-15, 19-21, 18-21 yang berlangsung selama 46 minit.
Dalam kategori perseorangan lelaki, Aidil Sholeh Ali Sadikin pula memberikan tentangan sengit sebelum akur tewas kepada pemain China, Lu Guang Zu.
Aidil menang set pertama 21-18, namun tidak berjaya mengekalkan momentum apabila tewas 16-21 dan 14-21 dalam dua set berikutnya dalam aksi yang berlangsung lebih sejam.