KUALA LUMPUR – Penyanyi dan anggota kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan rakan baiknya, Ajai yang memberi gambaran seolah-olah kumpulan tersebut tidak berhak menganjurkan konsert WE 4U2C Live In Concert.
AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 53, menyifatkan tindakan Ajai seperti cuba menutup periuk nasi kumpulan 4U2C yang sudah lebih 30 tahun tidak membuat persembahan berskala besar.
“Ajai rakan baik saya dan saya agak kecewa dengan kenyataan dia bahawa 4U2C tak boleh buat konsert, sedangkan pada hari Ahad lepas, pukul 6 petang, dia hubungi saya mengatakan dia ada beri kenyataan.
“Malah dia turut mencadangkan supaya saya saman Man Senoi. Saya okay saja masa itu kerana fokus saya hanyalah konsert selepas sekian lama tak naik pentas.
“Tetapi malam itu juga saya dapat tahu keluar kenyataan yang mengatakan kami tak boleh teruskan konsert. Kenapa nak tutup periuk nasi orang? Apa masalah awak dengan kami?” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Menurut AC, sebagai individu yang lama dalam industri, Ajai sepatutnya lebih peka dan memahami sensitiviti melibatkan rezeki serta kerjaya anak seni lain.
“Ajai dah lama dalam industri tapi masih nak komen ikut sedap mulut. Dia sendiri pun tak tahu tentang undang-undang muzik di Malaysia.
“Jadi macam mana dia boleh kata konsert kami salah sedangkan kami sedang ikut saluran yang betul?” tegas pelantun lagu Fiona itu.
Bagaimanapun, AC tetap mengucapkan terima kasih kepada beberapa rakan artis yang memberi sokongan moral dan nasihat, termasuk Datuk Zainal Abidin, Datuk Amy Search dan Datuk Norman Abdul Halim.
“Mereka semua beri semangat dan kata teruskan saja. Kami pun dah dapat permit sah daripada MACP di bawah Akta Hak Cipta Malaysia 1987.
“Kami bukan nak cari gaduh. Kami hanya nak tegakkan hak pemuzik tempatan dan betulkan salah faham yang berlaku dalam industri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, AC menegaskan konsert WE 4U2C Live In Concert yang dijadual berlangsung pada 15 September depan tetap akan diteruskan seperti dirancang.
Terdahulu, komposer Man Senoi dan isterinya, Mama Rap mendakwa mereka tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkenaan penganjuran konsert dan menegaskan mereka pemilik hak cipta lagu-lagu 4U2C.
Susulan itu, Ajai turut memberi pandangan agar kedua-dua pihak mencari jalan damai, namun kenyataannya disalah tafsir oleh AC sebagai tidak menyokong perjuangan 4U2C.