KUALA LUMPUR – Affin Hwang Investment Bank Berhad (AFFIN HWANG) terus memperkukuh komitmennya terhadap pendidikan inklusif menerusi pelancaran bilik terapi sensori khas untuk pelajar berkeperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Bharu, Selangor.
Kira-kira 146 pelajar bakal menerima manfaat langsung daripada kemudahan bilik terapi sensori yang direka khusus dengan dilengkapi pencahayaan khas, alat bantu pembelajaran interaktif serta suasana yang menenangkan, bagi membantu pelajar meningkatkan tumpuan, membina keyakinan diri dan menerima intervensi yang positif.
Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN HWANG, Nurjesmi Mohd Nashir berkata, penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk semua pelajar adalah keutamaan pihaknya.
“Di AFFIN HWANG, kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang belajar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong perkembangan emosi mereka. Inisiatif ini adalah bukti komitmen kami di bawah Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), khususnya dalam aspek perkhidmatan pelanggan, kepimpinan digital serta perbankan bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau, pelancaran bilik terapi itu hanya langkah pertama dalam kerjasama jangka panjang bersama pihak sekolah.
“Kami berharap dapat terus memperkasa pelajar berkeperluan khas, membantu mereka membina keyakinan diri dan kemahiran berdikari untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi.
Majlis peluncuran turut mengumumkan fasa-fasa seterusnya program “Adopt A School” termasuk kempen literasi kewangan, program kelestarian alam sekitar dan penubuhan kafe keusahawanan vokasional bagi mengasah kemahiran praktikal serta menjana kebebasan kewangan dalam kalangan pelajar.
Pengetua SMK Selayang Bharu, Budiman Menteri melahirkan rasa terharu atas komitmen yang ditunjukkan AFFIN HWANG.
“Transformasi sekolah kami ke arah institusi yang inklusif dan berfokuskan kemahiran tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan padu seperti ini. Masa depan anak-anak ini bermula hari ini,” ujarnya ketika ditemui MYBERITA.
Majlis pelancaran yang diadakan di SMK Selayang Bharu turut dihadiri oleh warga sekolah serta wakil AFFIN HWANG, sebagai simbolik kepada aspirasi bersama untuk membina masa depan pendidikan yang lebih saksama dan berimpak jangka panjang.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan AFFIN HWANG dalam memperkasa komuniti melalui inovasi berteraskan empati dan sokongan menyeluruh terhadap pendidikan.