PUCHONG – Sebanyak 15 lagu terbaik merangkumi tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop diumumkan sebagai finalis Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) dalam sebuah majlis yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix.
ALI24, yang bermula pada tahun 2020, kini memasuki tahun kelima penganjurannya dan terus berperanan sebagai wadah utama dalam memperkasakan bakat muzik bebas tanah air. Penganjuran tahun ini menyaksikan sambutan menggalakkan dengan lebih 630 penyertaan diterima dari seluruh negara.
Penerbit Eksekutif ALI, Ahmed Faris Amir berkata, Sejak diperkenalkan, Anugerah Lagu Indie komited dalam membuka laluan kepada pemuzik bebas tanpa mengira genre.
“Tahun ini, kami menerima jumlah penyertaan tertinggi setakat ini, satu indikator jelas terhadap perkembangan positif muzik indie di Malaysia.”
Senarai akhir 15 finalis yang terpilih mewakili pelbagai suara baharu dalam muzik indie, dan akan berentap di Pentas Akhir ALI24 pada 27 Julai 2025, yang akan disiarkan secara langsung di saluran rasmi YouTube Anugerah Lagu Indie bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Orang awam yang berminat menghadiri acara ini secara fizikal boleh mendapatkan tiket percuma menerusi pendaftaran di www.anugerahlaguindie.com/rsvp-ali24-finale. Namun, tempat adalah terhad.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, ALI24 menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM36,000 yang akan diberikan kepada pemenang bagi tiga kategori utama: Pop, Rock dan Hip Hop Terbaik. Selain itu, dua anugerah khas turut dipertandingkan iaitu Persembahan Terbaik dan Lagu Indie Terpaling Platinum Carta Indie Kita.
Penerbit Eksekutif Bersama, Jennifer Thompson menjelaskan bahawa kesemua penyertaan telah dinilai secara profesional berdasarkan keaslian lirik, kualiti muzik dan impak keseluruhan lagu.
“Markah penjurian ditentukan menerusi kombinasi 70% undian juri dan 30% undian awam di laman rasmi anugerah,” katanya.
Panel juri tahun ini terdiri daripada tokoh-tokoh muzik tempatan seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof Madya Dr. Muhammad Sayyid dan Wing Meng, yang membawakan latar belakang pelbagai genre dan kepakaran muzik.

Pengumuman itu disempurnakan dalam satu acara eksklusif yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, bersama para finalis, barisan penganjur serta rakan-rakan strategik yang menjayakan penganjuran edisi kelima anugerah tersebut.
Anugerah Lagu Indie 2024 turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, inisiatif Gaya Hidup Rakan Muda, serta disertai beberapa rakan strategik termasuk JioSpace (Lokasi Rasmi), Rakita 107.9 (Radio Rasmi), dan media rakan kongsi seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS.