KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan bahawa bekalan lembu, kerbau, kambing dan bebiri bagi memenuhi keperluan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini adalah mencukupi dan melebihi permintaan.
Ketua Pengarah Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid berkata, anggaran permintaan tahun ini adalah sebanyak 34,451 ekor lembu dan kerbau, manakala kambing serta bebiri dianggarkan sebanyak 22,453 ekor.
“Berdasarkan data DVS sehingga Mac lalu, bekalan sedia ada dalam negara bagi lembu dan kerbau adalah 35,581 ekor, ditambah dengan 3,223 ekor haiwan import yang telah berada dalam negara dan sedia untuk disembelih.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 38,804 ekor lembu dan kerbau, melebihi permintaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi kambing dan bebiri pula, beliau berkata bekalan tempatan mencecah 26,845 ekor, manakala 3,322 ekor haiwan import turut tersedia untuk korban, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30,167 ekor.
Mengulas mengenai haiwan unta yang juga menjadi pilihan bagi ibadah korban, Dr Akma menjelaskan bahawa pengimportan unta ke Malaysia hanya dibenarkan dari Australia dan khusus untuk tujuan pembiakan sahaja, bukan untuk ibadah korban.
“Import boleh dilakukan melalui kapal laut atau kapal terbang, dan tidak perlu dikuarantin,” ujarnya.
Menjelang musim korban, JPV turut memberi penekanan terhadap isu penyeludupan haiwan ternakan di sempadan negara. Dr Akma berkata, pemantauan rapi dijalankan terutama di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Pemantauan dilaksanakan secara berkala melalui operasi, serbuan dan risikan, dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa seperti MAQIS, PDRM, PGA, JKDM, ATM dan AKPS.
“Sepanjang tahun 2023 hingga April 2025, sebanyak 317 kes penyeludupan ternakan berjaya dikesan, membabitkan rampasan 1,938 ekor haiwan ternakan.
“Jumlah denda yang dikenakan melebihi RM800,000, manakala nilai lucut hak ternakan melebihi RM1.6 juta,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua haiwan korban yang dibawa masuk ke dalam negara adalah selamat, sah, dan tidak mengancam kesihatan awam.