KOTA KINABALU – Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah, telah menghembuskan nafas terakhir pada Selasa, pukul 8.45 malam, di Hospital KPJ Kota Kinabalu.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menerusi satu kenyataan rasmi, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada usia 78 tahun di sisi ahli keluarga tercinta.
Bagi menghormati pemergian tokoh negeri itu, kerajaan negeri Sabah mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut.
Allahyarham Tun Ahmadshah Abdullah merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah kesembilan dan telah berkhidmat dari 1 Januari 1995 hingga 31 Disember 2002.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Sabah dan seluruh rakyat yang pernah menerima sumbangan jasanya sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Negeri.