KUALA LUMPUR – Filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga terus menggegarkan pawagam tanah air apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM50 juta selepas dua minggu ditayangkan di seluruh negara.
Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa genre filem bertemakan mafia dan gengsterisme masih mempunyai tempat di hati peminat filem tempatan.
Pengarah bersama filem berkenaan, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima.
“Kami amat bersyukur melihat kutipan yang terus meningkat dan kini mencapai tahap yang begitu luar biasa. Ini semua tidak akan berlaku tanpa sokongan padu daripada penonton Malaysia. Terima kasih kerana terus mempercayai dan menyokong filem ini dari awal hingga sekarang,” ujar mereka.
Filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios sebelum ini berjaya meraih kutipan RM45.7 juta dalam hanya 11 hari tayangan.
Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson, Blood Brothers kini menduduki tempat keempat dalam senarai lima filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Filem tersebut kini berada di belakang Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta), Sheriff: Narko Integriti (RM63.2 juta), dan Polis Evo 3 (RM54.1 juta), serta mengatasi Munafik 2 (RM48 juta).